Tuesday, September 11, 2012

Bengkel Penulisan Mastera: Puisi 2012


Kali pertama diberitahu saya akan menyertai Program Penulisan MASTERA 2012: Puisi, saya tidak begitu pasti tentang apa yang akan saya peroleh sepanjang seminggu berada di sana. Lebih-lebih lagi memandangkan pengkhususan saya lebih kepada genre penulisan cerpen dan novel, genre sajak yang telah saya abaikan hampir setahun lamanya dirasakan begitu asing bagi saya.

Dikelilingi penyair-penyair mapan dan berkaliber dari Indonesia, Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura sendiri, saya merasakan diri saya begitu kerdil dan tidak pernah akan mampu berdiri di samping mereka. Apatah lagi ada di antara pembimbing sudah pun mengukir nama di persada antarabangsa, menjelajah sampai ke negeri German untuk mendeklamasi puisi – tidak dapat tidak rasa terlalu rendah diri itu pasti menyentak tangkai hati.

Walau bagaimanapun, ternyata barisan para penyair tersohor ini meski sudah banyak menimba pengalaman dan meraih ilmu, mereka tidak lokek berkongsi dengan para peserta Program Penulisan MASTERA 2012: Puisi tentang dunia kepenyairan dan tips-tips penting untuk menjadi seorang penyair yang berjaya.

Antara tips yang dikongsikan para pembimbing termasuk untuk mentajdid semula niat mengapa kita memilih ataupun cenderung untuk menjadi seorang penyair. Adakah kita ingin menjadi penyair kerana kita inginkan kemegahan? Popoularitas? Ataupun kerana kita inginkan wang? Jika itulah matlamat utama kita, pesan Pak Zaen Kasturi pembimbing dari Malaysia, baik lupakan saja niat kita untuk menjadi penyair. Ini kerana semua itu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Niat utama seorang penyair ialah untuk memperbaiki keadaan. Seperti yang dikongsikan oleh salah seorang pembimbing dari Indonesia, Pak Joko Pinurbo, seorang penyair itu akan menulis tentang sesuatu yang dilihat kerana menginginkan perubahan ke arah sesuatu yang lebih baik. Penyair itu melahirkan pengharapan untuk melihat perubahan lewat karya-karya puisinya.

Selain itu, menerusi sesi ‘Bedah Puisi’ yang diadakan secara intensif selama dua hari berturut-turut, puisi-puisi yang telah disiapkan para peserta telah dikritik dan dibahaskan sewaktu diskusi kelompok dijalankan. Sesi ini nyata sekali telah membuka minda saya tentang pentafsiran karya puisi kerana apa yang saya maksudkan dalam puisi saya ternyata jauh daripada apa yang mereka tafsirkan setelah mereka membaca. Saya tidak pernah menyangka puisi saya yang sangat ‘straightforward’ sebenarnya telah berjaya mendatangkan pelbagai tafsiran daripada tiga negara yang berbeza. Hal ini berlaku mungkin kerana pendedahan, pemikiran dan ideologi kami yang datang daripada dasar dan latar yang berlainan.

Akhir sekali, kami turut meminta beberapa tips daripada para pembimbing bagaimana untuk menjadi seorang penyair yang konsisten, agar kami dapat terus melahirkan puisi-puisi yang mantap dan berisi. Cikgu Haji Rajab dari Brunei Darussalam telah mengingkatkan kami agar menulis setiap hari, supaya pena kita tidak tumpul dan akal kita sentiasa bergerak berfikir tentang puisi. Pak Acep Zamzam Noor dari Indonesia pula menyarankan kami untuk memulakan hari dengan pembacaan untuk mendapatkan inspirasi.

Kemuncak Program MASTERA Puisi 2012 ialah apabila para peserta diminta untuk mendeklamasikan sajak masing-masing di atas pentas Resort Jayakarta. Rasa gemuruh pasti ada, memandangkan itu merupakan kali pertama saya mendeklamasikan sajak. Namun, ia merupakan satu pengalaman manis yang tidak akan saya lupakan kerana sesi deklamasi sajak itu telah mendedahkan saya kepada pelbagai gaya pendeklamasian sajak daripada empat Negara yang berbeza.

Ada yang mendeklamasi dengan penuh santun dan mendayu-dayu seolah-olah sedang merayu, ada yang selamba tetapi sinis, ada juga yang penuh dramatik dan memberi penekanan kepada huruf-huruf vokal untuk memberikan impak yang lebih. Variasi yang diperlihatkan menerusi sesi deklamasi sajak ini tentu sahaja mendedahkan kami dengan cara deklamasi yang ‘luar biasa’ dan tidak skema.

Secara keseluruhan, Program MASTERA 2012: Puisi telah berjaya membuatkan saya jatuh cinta pada dunia puisi dan kepenyairan! Harapan saya semoga MBMS dapat menghantar lebih ramai peserta pada masa hadapan untuk turut sama-sama merasai dan menyemai kecintaan kepada Bahasa Melayu dan dunia Sastera.

Akhir kalam, “Puisi bukan tentang apa yang ingin anda katakan, tetapi bagaimana ianya disampaikan.” – Pak Agus R Sarjono

Ps: Pictures will be uploaded soon (:

1 comment:

  1. wow! tetiba rasa macm tgh baca artikel dlm paper. haha. btw, teringin jgk nak join program2 mcm ni, tp x de saluran... ;(

    ReplyDelete